08 November, 2009

Peluru berpandu Iran

BERITA mengenai Teheran yang berjaya melaksanakan ujian peluru berpandu seketika dulu sebenarnya tidak mengejutkan kerana sejak kebelakangan ini Iran begitu aktif dengan aktiviti pembaikan sistem peluru berpandu yang dimiliki. Peluru berpandu terbaru Iran yang dinamakan Sajil dikatakan mampu mensasar jarak sehingga 1,900 kilometer.

Pada waktu yang sama India juga melakukan ujian peluru berpandu balistik jarak sederhana K-15 yang dilancarkan dari kapal selam. K-15 dikatakan mampu bergerak sehingga 700 kilometer jauhnya. Tidak ada yang menarik mengenai ujian terbaru New Delhi kerana sebelum ini K-15 telah pun di uji tetapi menggunakan pelancar yang berbeza. Tiada pihak yang berasa teruja dengan kemampuan K-15 kerana New Delhi sudah pun mempunyai peluru berpandu Agni-3 yang mempunyai jarak sasaran empat kali lebih jauh dari K-15.

Begitu juga dengan peluru berpandu Sajil, sebenarnya tiada apa yang menarik kerana Teheran telah pun mempunyai Shahab-3 yang mampu bergerak lebih jauh dari Sajil. Ujian terhadap Shahab-3 yang dilakukan pada Julai lepas membuktikan bahawa peluru berpandu tersebut mampu mencapai jarak melebihi 2,000 kilometer jauhnya.

Tetapi agak menghairankan banyak pihak yang berasa agak teruja dengan ujian Sajil. Memang tidak dapat dinafikan kejayaan ujian Sajil adalah sesuatu yang baru kerana peluru berpandu tersebut menggunakan sistem penggerak bahan bakar yang berlainan dengan Shahab-3. Sajil walaupun dikatakan tidak mampu mencapai jarak sejauh Shahab-3, tetapi pergerakannya adalah lebih pantas dan capaian sasaran dapat dilakukan dengan lebih jitu.

Washington umpamanya telah dilihat cuba mengambil kesempatan dari kejayaan Sajil dengan mengaitkan dengan isu pembangunan nuklear Iran. Walaupun telah berkali-kali dinafikan oleh Teheran, Washington memberi andaian bahawa kemajuan peluru berpandu Teheran tersebut jelas mempamerkan niat Republik Islam tersebut untuk memperlengkapkan peledak nuklear terhadap peluru berpandu Iran.

Walaupun tiada bukti nyata yang menjerumus niat Teheran untuk membangunkan nuklear sehingga mencapai tahap pemerosesan uranium gred senjata, tetapi Washington tetap dengan andaian yang sukar dibuktikan. Tetapi agak pelik juga, New Delhi yang secara jelas membangunkan keupayaan nuklear mereka untuk tujuan ketenteraan, tetapi tidak menerima sebarang tentangan dari Washington setiap kali India melakukan ujian peluru berpandu.

Begitu mudah sekali Washington menggunakan kejayaan Sajil untuk menyakinkan Moscow mengapa perlu sistem perisai peluru berpandu ditempatkan di Poland dan Republik Czech. Adalah baik diungkitkan kembali isu penempatan sistem perisai tersebut mendapat tentangan yang hebat dari Moscow kerana Kremlin berpendapat sistem tersebut sebenarnya bertujuan mengekang kemampuan peluru berpandu milik Rusia. Dalil ancaman Teheran, mengikut Moscow hanya sengaja diadakan untuk menutup agenda sebenar Washington.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Cadangan/komen: